SELAMAT DATANG KE BLOG PEMADAM DAERAH GOMBAK.....SALAM PERKENALAN DAN SALAM SATU MALAYSIA...!!!

Wednesday, March 7, 2012

PROGRAM PEMADAM DADAH DAERAH:

PEMADAM Daerah Gombak telah mengadakan Mesyuaratnya pada 7 Mac 2012, Di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Gombak. Antara agenda yang dibentangkan adalah perlantikan AJK baru dan Exco Baru serta perlantikan Bendahari baru sebagai menggantikan tempat Bendahari lama yang uzur. Disamping itu Agenda dalam mesyuarat adalah mengatur program di tahun 2012 yang dikenalpasti. Diantaranya lawatan ke Penjara Kajang, Ceramah Kesedaran Salahguna Dadah kepada pelajar/murid2 Sekolah serta Karnival Cegah Dadah.

PERLEMBAGAAN BHG. 1. (SUMBER PEMADAM MALAYSIA)

Perlembagaan

« Sebelum | 1 2 3 4 5 6 7 | Seterus»
1. NAMA DAN LAMBANG
i. Nama Persatuan itu ialah PERSATUAN MENCEGAH DADAH MALAYSIA atau ringkasnya PEMADAM (kemudian daripada ini disebut sebagai "Persatuan itu").
ii. Lambang Persatuan itu adalah sebagai yang diperihal dan dilukis dalam Jadual Pertama.


2. PEJABAT BERDAFTAR DAN TEMPAT MESYUARAT
Pejabat berdaftar dan tempat mesyuarat bagi Persatuan itu ialah di
Ibu Pejabat PEMADAM Kebangsaan,
No. 8, Jalan Ledang,
50480 Kuala Lumpur

atau di tempat lain di dalam Malaysia sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan dari masa ke semasa.


3. KAWASAN KEGIATAN
Kawasan kegiatan bagi Persatuan itu ialah di Negeri- negeri dalam Malaysia dan Wilayah Persekutuan yang mana, bagi maksud Perlembagaan ini, hendaklah dianggap sebagai sebuah Negeri dalam Malaysia.
(a) Perkataan 'Daerah' yang disebut di dalam Perlembagaan ini adalah juga bermakna 'Jajahan' di Negeri Kelantan dan 'Bahagian' di Negeri Sarawak .


4. TUJUAN
Tujuan Persatuan itu ialah:-
(a) Untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi mereka dan lain-lain badan dalam usaha untuk menghapuskan pengeluaran dan perniagaan dadah yang menyalahi undang-undang dan penggunaannya dalam apa-apa bentuk.
(b) Untuk membasmi serta menjalankan penyelidikan mengenai penggunaan dadah dan untuk membantu bekas-bekas penagih dadah melalui JAGAAN LANJUTAN.

(c) Untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya penggunaan dadah dan melibatkan masyarakat dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini.

(d) Untuk melancarkan kegiatan-kegiatan Persatuan itu dalam peringkat Negeri dan Daerah dan memberi galakan serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan Badan-badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini.


5. PENAUNG
Penaung bagi Persatuan Kebangsaan ialah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Penaung bagi Persatuan Daerah dalam sesuatu Negeri dan bagi jawatankuasa Penyelaras Negeri ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar atau Ketua Menteri Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan.
(1) Penasihat PEMADAM Kebangsaan hendaklah diwujudkan terdiri daripada bekas-bekas Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan yang masih berupaya dan perlantikan ini boleh diperbaharui atau dibuat perlantikan semula setiap 2 tahun sekali tidak melebihi daripada 5 orang.


6. KUASA-KUASA PERSATUAN
Persatuan itu hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat segala perkara yang perlu untuk mencapai tujuan-tujuannya, dan khususnya, tanpa menyentuh keluasan makna yang tersebut terlebih dahulu:-
(a) Untuk memajukan dan mengawal penyatuan dan memberi bantuan kepada mana-mana badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan itu.

(b) Untuk mengambil, memegang dan melupuskan harta alih dan tak alih, termasuklah stok dan sekuriti, dan dengan jalan lain menguruskannya adalah satu cara sebagaimana dikehendaki oleh hal keadaan, termasuklah mengadai janji atau mencagar mana-mana harta bagi maksud tujuan-tujuan Persatuan itu.

(c) Untuk mengambil alih tugas-tugas, aset dan tanggungan mana-mana orang atau badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan itu atau had-had dan syarat-syarat yang boleh dipersetujui.

(d) Untuk menguruskan derma kekal dan membuat pembayaran darinya.

(e) Untuk memungut derma dan meminjam wang dan merayu dan menerima pemberian dari semua jenis dan melaburkan wang derma, wang dan pemberian itu.

(f) Untuk menerbitkan dokumen-dokumen, mengadakan persidangan dan seminar tempatan dan menghantar wakil-wakil menghadiri persidangan dan seminar yang diadakan di luar negeri yang berhubung dengan penyalahgunaan dadah.

(g) Untuk memberi bantuan dalam apa-apa bentuk kepada mana-mana persatuan atau badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan itu atau kepada mana-mana penagih dadah.

(h) Untuk membuat pemberian, dan untuk atau menderma kepada mana-mana khairat.

(i) Ahli Lembaga Pemegang Amanah PEMADAM Kebangsaan.

(50% daripada Pengamanah-pengamanah ini adalah terdiri daripada mereka yang bukannya
Pengasas PEMADAM atau menganggotai sebarang Jawatankuasa Persatuan ini.)

(j) Untuk menubuh sebuah Yayasan PEMADAM bagi tujuan mendapatkan sumber kewangan yang berterusan melalui bidang-bidang yang akan diputuskan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

(k) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah melantik (4) orang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PEMADAM yang terdiri daripada seorang Pengerusi dan Tiga orang ahli.

PERLEMBAGAAN BHG. 2.(SUMBER PEMADAM MALAYSIA)

7. TUGAS-TUGAS DAN KUASA-KUASA PEMEGANG JAWATAN
(1) Pemegang jawatan Persatuan itu terdiri dari Yang DiPertua, Timbalan Yang DiPertua, tiga orang Naib Yang DiPertua, seorang Setiausaha Agung dan seorang Bendahari Kehormat.
(2) Tugas-tugas dan kuasa-kuasa pemegang jawatan adalah seperti berikut:-

•Yang DiPertua adalah berhak bertindak sebagai Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa dan hendaklah mewakili Persatuan itu dalam urusannya dengan orang-orang atau badan-badan luar. Yang DiPertua boleh menjalankan kuasa-kuasanya dibawah Perlembagaan ini sebaik sahaja dilantik oleh Penaung Kebangsaan.

•Timbalan Yang DiPertua akan mewakili Yang DiPertua dalam masa ketiadaan Yang DiPertua dan Naib-naib Yang DiPertua akan menjalankan tugas-tugas sebagaimana yang boleh diwakilkan kepada mereka oleh Yang DiPertua.

•Setiausaha Agung hendaklah menyimpan semua rekod, kecuali yang bersabit dengan hal kewangan, dan hendaklah bertanggungjawab atas kebenarannya. Ia hendaklah bertanggungjawab bagi mentadbirkan hal-ehwal Persatuan, selepas berunding dengan Yang DiPertua. Ia hendaklah mempunyai kuasa untuk mengesyorkan penglibatan kerja, pemecatan dan kenaikan gaji bagi kakitangan yang bergaji dalam Persatuan itu.

•Bendahari Kehormat hendaklah memungut dan membayar semua wang bagi pihak Persatuan itu dan hendaklah menyimpan semua akaun transaksi mengenai wang dan hendakalah bertanggungjawab akan kebenarannya. Akaun bank atau akaun-akaun Persatuan hendaklah dikendalikan oleh Yang DiPertua, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat.
(3) Pemegang Jawatan Persatuan itu adalah pekerja-pekerja kehormat.

(4) Peruntukan-peruntukan fasal (2) boleh dipakai dengan ubahsuaian yang perlu bagi pemegang jawatan yang sama bagi pemegang jawatan yang sama bagi Jawatankuasa Penyelaras Negeri dan Persatuan Daerah.


8. STRUKTUR

(1) Persatuan itu hendaklah terdiri dari :-

•Persatuan Kebangsaan;
•Jawatankuasa Penyelaras Negeri bagi tiap-tiap Negeri
•Persatuan Daerah bagi tiap-tiap Daerah Pentadbiran atau Bahagian dalam tiap-tiap Negeri.
•Unit-unit Mukim/ Kampung/ Kawasan Perumahan dan Perindustrian dalam Daerah berkenaan.
(2a) Badan tertinggi bagi Persatuan Kebangsaan ialah Perhimpunan Agung yang hendaklah diadakan tidak lewat daripada hari terakhir bulan Julai bagi tiap-tiap tahun melainkan tarikh itu dilanjutkan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
(2b) Badan Tertinggi bagi Persatuan Daerah ialah Mesyuarat Agung Tahunan Daerah yang hendaklah diadakan tidak lewat daripada hari terakhir bulan April tiap-tiap tahun melainkan tarikh itu dilanjutkan dengan kelulusan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

(3a) Persatuan Kebangsaan hendaklah mempunyai satu Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan yang hendaklah menjalankan dasar-dasar dan keputusan-keputusan Perhimpunan Agung dan hendaklah bertanggungjawab bagi pentadbiran dan tugas-tugas Persatuan itu.

(3b) Tiap-tiap Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah menjalankan dasar-dasar dan keputusan-keputusan Perhimpunan Agung dan arahan-arahan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

(3c) Tiap-tiap Persatuan Daerah hendaklah mempunyai Jawtankuasa Kerja Daerah dan menjalankan dasar-dasar dan keputusan-keputusan Perhimpunan Agung, arahan-arahan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan dan Jawatankuasa Penyelaras Negeri, selain tugas-tugas persatuan itu dalam peringkat Daerah.


9. AHLI
(1) Keahlian Persatuan itu hendaklah terbuka kepada:
•Orang lelaki atau perempuan yang berumur enam belas (16) tahun ke atas;
•Sekolah-sekolah;
•Institusi pengajian tinggi dan latihan;
•Pertubuhan, kesatuan, institusi, badan-badan dan syarikat yang ditubuhkan atau didaftarkan di bawah undang-undang bertulis.
(2) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan boleh meluaskan atau mengurangkan kategori ahli-ahli dari masa ke semasa.

(3) Seseorang ahli boleh didaftarkan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan Jawatankuasa Penyelaras Negeri atau Jawatankuasa Kerja Daerah

Dengan syarat bahawa ahli-ahli pengasas Persatuan itu hendaklah didaftarkan oleh Yang DiPertua.

(4) Tiap-tiap ahli, di mana atau oleh siapa didaftarkan adalah seorang ahli Persatuan itu dan hendaklah didaftarkan dalam cara yang ditentukan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan dengan Persatuan Daerah bagi Daerah atau Bahagian di mana ahli itu bermastautin atau ditubuhkan atau mempunyai tempat perniagaan atau kendalian.

Dengan syarat jika tiada Persatuan Daerah bagi Daerah atau Bahagian yang berkenaan bagi mana-mana ahli itu boleh mendaftar dengan Persatuan Daerah yang hampir dalam Negeri yang berkenaan.

(5) Dalam Perlembagaan ini, "ahli perbadanan" ertinya ahli lain darpada orang perseorangan.


10. YURAN
(1) Yuran ahli-ahli hendaklah sebagai yang ditentukan dalam Jadual Kedua kepada Perlembagaan ini, melainkan ditentukan selainnya oleh Perhimpunan Agung dari masa ke semasa.
(2) Yuran ahli-ahli adalah kepunyaan Persatuan itu dan dibahagikan seperti berikut: 30 peratus kepada Persatuan Daerah, 10 Peratus kepada Jawatankuasa Penyelaras yang berkenaan dan 10 peratus kepada Persatuan Kebangsaan

PERLEMBAGAAN BHG. 3: (SUMBER PEMADAM MALAYSIA).

11. PERSATUAN DAERAH : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
(1 ) Sesuatu Persatuan Daerah hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi ahli-ahli berdaftarnya.
(2) Hanya ahli-ahli yang telah membayar yuran mereka bagi tahun kalendar itu adalah berhak untuk hadir, bercakap atau mengundi di Mesyuarat bagi tahun itu.

(3) Urusan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah termasuk urusan-urusan yang berikut:

•Untuk menerima dan mensesuaikan Laporan Tahunan dan akaun yang telah diaudit bagi Persatuan Daerah bagi tahun kalendar yang lalu;
•Sesuatu Persatuan Daerah hendaklah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah yang dilantik secara otomatik dan jawatankuasa yang lain hendaklah dipilih dua tahun sekali, sama ada dengan mengundi atau dengan mengangkat tangan yang boleh ditentukan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Daerah yang berikut:-
◦( i) Seorang Timbalan Pengerusi;
◦(ii) Dua orang Naib Pengerusi, seorang daripadanya hendaklah perempuan; dan
◦(iii) Tidak lebih daripada 15 orang ahli, sekurang-kurangnya tiga daripada mereka hendaklah perempuan.
•Untuk memilih dua orang Juruaudit; dan
•Untuk memilih seorang wakil ke Perhimpunan Agung bagi tiap-tiap seratus orang ahli Persatuan Daerah selain daripada Pengerusi Daerah dan Setiausaha Daerah atau wakilnya menjadi wakil dengan secara otomatik. Dengan syarat bilangan wakil itu tidak lebih daripada lima orang.
(4) Selain dari ahli-ahli yang dipilih bagi Jawatankuasa kerja Daerah, Pengerusi hendakah melantik tidak lebih daripada enam orang ahli Jawatankuasa Kerja Daerah. Dua orang daripadanya hendaklah dilantik oleh Pengerusi sebagai Setiausaha dan Bendahari Persatuan Daerah itu.

(5) Tiap-tiap ahli perbadanan adalah berhak menghantar seorang wakil kepada Perhimpunan Agung dan ia hendaklah menamakan wakil itu di Mesyuarat Agung Tahunan.

(6) Suatu notis permulaan mengenai Mesyuarat Agung Tahunan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat, dan meminta usul-usul untuk perbincangan dan penamaan bagi pemilihan Jawatankuasa Kerja Daerah hendaklah dihantar oleh Setiausaha kepada semua ahlitidak lewat daripada 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat itu, dan notis ini hendaklah juga dipamerkan dengan jelasnya di pejabat berdaftar atau tempat mesyuarat Persatuan itu.

Penamaan-penamaan bagi pemilihan pegawai-pegawai dan usul-usul untuk perbincangan di mesyuarat itu hendaklah dihantar untuk diterima oleh Setiausaha tidak lewat daripada 7 hari selepas notis permulaan itu diterima.

Setiausaha hendaklah menghantar suatu agenda termasuklah salinan-salinan, minit dan laporan, usul dan penamaan bagi pemilihan pegawai-pegawai, bersama dengan akaun-akaun Persatuan itu bagi tahun dahulu yang telah diaudit kepada semua ahli sekurang-kurangnya 17 hari sebelum mesyuarat itu. Salinan-salinan dokumen ini hendaklah juga disediakan di pejabat berdaftar atau tempat mesyuarat Persatuan itu untuk ditatap oleh ahli-ahli


12. MESYUARAT AGUNG LUARBIASA BAGI PERSATUAN DAERAH
(1) Pengerusi Persatuan Daerah hendaklah mengadakan suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi Persatuan Daerah itu dalam masa dua puluh satu hari dari diterima suatu permintaan bertulis untuk mengadakannya yang ditandatangani oleh lima puluh orang ahli atau 30% daripada jumlah ahli, yang mana lebih kurang dari Persatuan Daerah atau apabila diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Daerah, Jawatankuasa Penyelaras Negeri atau Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
(2) Notis mengenai Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah diberi sekurang-kurangnya sepuluh hari kepada semua ahli Persatuan Daerah itu.

(3) Urusan mesyuarat itu hendaklah ditentukan dalam notis yang memanggil mesyuarat itu dan tiada urusan lain boleh dijalankan atau dibincangkan dalam mesyuarat itu.


13. KORUM
(1) Korum bagi Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi sesuatu Persatuan Daerah adalah lima puluh orang ahli atau 30% dari jumlah ahli, yang mana lebih kurang.
(2) Jika dalam masa satu jam dari waktu yang ditentukan bagi mesyuarat itu korum tidak mencukupi, mesyuarat itu hendaklah, jika diadakan atas permintaan, dibubarkan dan dalam lain hal hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang ditetapkan oleh Pengerusi Persatuan Daerah dan jika di mesyuarat yang ditangguhkan itu korum tidak mencukupi, ahli-ahli yang hadir hendaklah menjadi korum dan boleh meneruskan urusan mesyuarat itu.


14. JAWATANKUASA KERJA DAERAH

A.(1) Jawatankuasa Kerja Daerah hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam dua bulan.

(2) Notis mengenai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Daerah hendaklah diberi sekurang-kurangnya tiga hari kepada semua ahli jawatankuasa.

Dengan syarat bahawa dalam masa kecemasan notis satu hari adalah mencukupi.

(3) Jawatankuasa Kerja Daerah hendaklah mempunyai kuasa untuk:-

•Mengisi kekosongan yang berlaku dikalangan pemegang-jawatannya dengan melantik seorang daripada ahli-ahlinya bagi jawatankuasa yang kosong itu;
•Memilih menjadikan ahli kepada jawatankuasa yang berlaku dari perletakkan jawatan apa-apa sebab lain.
(4) Korum bagi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Daerah ialah tujuh.

(5) Jawatankuasa Kerja Daerah boleh melantik Jawatankuasa Kecil bagi maksud-maksud tertentu dan boleh mewakilkan kepada jawatankuasa kecil itu kuasa-kuasa sebagaimana yang difikirkannya perlu. Jawatankuasa Kerja Daerah hendaklah mempunyai kuasa untuk melantik ahli-ahli biasa dan bukan ahli kepada jawatankuasa kecil itu. Jawatankuasa Kerja Daerah dibenarkan menubuhkan dan membentuk Jawatankuasa Unit di Peringkat Mukim/Kawasan Perumahan dan Perindustrian dalam Daerah masing-masing.

(6) Tiada perbelanjaan yang melebihi RM500.00 pada satu masa boleh dilakukan tanpa izin terlebih dahulu Jawatankuasa Kerja Daerah, dan tiada perbelanjaan yang melebihi RM1,000 pada mana-mana satu bulan boleh dilakukan tanpa izin terlebih dahulu Mesyuarat Agung.

(7) Beberapa orang pegawai Kerajaan yang boleh dilantik oleh Pengerusi selepas berunding dengan Penaung Negeri; dan

(8) Beberapa orang wakil dari perdagangan dan perusahaan, kesatuan sekerja, kelab belia, kelab dan lain-lain badan sukarela yang boleh dilantik oleh Pengerusi selepas berunding dengan Penaung Negeri.

(9) Jumlah bilangan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Negeri tidak boleh lebih daripada Lima Puluh orang melainkan kelulusan terlebih dahulu di perolehi dari Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

(10) Tertakluk kepada Fasal 17 (1) dan Fasal (2) Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah dilantik untuk satu tempoh yang tidak lebih dari 2 tahun dan boleh dilantik semula.


B. (1) Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan.

(2) Notis mengenai mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah diberi sekurang-kurangnya sepuluh hari kepada semua Ahli Jawatankuasa. Dengan syarat bahawa dalam masa kecemasan notis tiga hari adalah mencukupi.

(3) Korum bagi mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Negeri ialah sebelas.

(4) Jawatankuasa Penyelaras Negeri boleh melantik Jawatankuasa Kecil bagi maksud-maksud tertentu dan boleh mewakilkan kepada Jawatankuasa Kecil itu kuasa-kuasa yang difikirkan perlu.

(5) Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah menjalankan dan menyelia pemilihan kepada Persatuan Kebangsaan, dan bagi maksud ini hendaklah melantik seorang atau lebih dari seorang Pegawai Pengurus.

(6) Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah menerima laporan dari Persatuan Daerah dan Jawatankuasa Kecil, jika ada, dan mengemukakan laporan yang disatukan kepada Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

Friday, March 12, 2010

PERLEMBAGAAN: BHG 4

15. PERHIMPUNAN AGUNG
(1) Persatuan Kebangsaan hendaklah mengadakan satu Perhimpunan Agung Tahunan tidak lewat daripada hari akhir bulan Julai bagi tiap-tiap tahun melainkan tarikh itu dilanjutkan oleh Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
(2) Wakil-wakil kepada Perhimpunan Agung hendaklah terdiri dari:-

•Wakil-wakil Persatuan Daerah sebagaimana diperuntukan dalam Perkara 13(3)(d) dan (5), lain daripada mereka yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
•Sepuluh orang wakil yang dinamakan oleh tiap-tiap Jawatankuasa Penyelaras Negeri dikalangan ahli-ahlinya, lain daripada mereka yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan; dan
•Semua Ahli Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
(3) Urusan Perhimpunan Agung hendaklah termasuk yang berikut:

•Untuk menerima dan mensesuaikan laporan tahunan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan;
•Untuk menerima dan mensesuaikan akaun-akaun yang telah diaudit bagi Persatuan Kebangsaan bagi kalendar yang lalu;
•Untuk memilih dua tahun sekali sama ada dengan undi atau dengan mengangkat tangan yang boleh ditentukan oleh wakil-wakil dengan kelebihan undi, Pemegang-jawatan dan ahli-ahli Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan yang berikut:-
◦Seorang Timbalan Yang DiPertua; dan
◦Tiga orang Naib Yang DiPertua
•Untuk memilih Juruaudit dari Firma-Firma audit selain dari Dua orang Juruaudit Dalam dikalangan ahli-ahli PEMADAM.
•Untuk menimbangkan ketetapan.
•Untuk melaksanakan lain-lain urusan yang mana notis bertulis telah diberi kepada Setiausaha Agung sekurang-kurangnya dua puluh hari sebelum tarikh Perhimpunan Kebangsaan.
(4) Tiap Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah menamakan Pengerusinya untuk berkhidmat sebagai seorang ahli bagi majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.

(5) Korum bagi suatu Perhimpunan Agung dan Perhimpunan Agung Luar Biasa ialah 30% dari jumlah wakil-wakil.

(6a) Suatu notis permulaan mengenai Perhimpunan Agung Tahunan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat, dan meminta usul-usul untuk perbincangan, usul-usul untuk meminda kaedah-kaedah dan penamaan bagi pemilihan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah dihantar oleh Setiausaha kepada semua ahli tidak lewat daripada 49 hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat itu dan notis hendaklah juga dipamerkan dengan jelasnya di pejabat berdaftar atau tempat mesyuarat Persatuan itu.

(6b) Penamaan-penamaan bagi pemilihan pegawai-pegawai dan usul-usul untuk perbincangan di perhimpunan itu hendaklah dihantar untuk diterima oleh Setiausaha tidak lewat 21 hari selepas notis permulaan itu diterima.

(6c) Setiausaha hendaklah menghantar satu agenda termasuklah salinan-salinan minit laporan, usul dan penamaan bagi pemilihan pegawai-pegawai, bersama dengan akaun-akaun Persatuan itu bagi tahun dahulu yang telah diaudit kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum mesyuarat itu. Salinan-salinan dokumen ini hendaklah juga disediakan dipejabat berdaftar atau tempat mesyuarat Persatuan itu untuk ditatap oleh ahli-ahli.


16. PERHIMPUNAN AGUNG LUAR BIASA
(1) Suatu Perhimpunan Agung Luar Biasa hendaklah diadakan oleh Yang DiPertua atas permintaan bertulis untuk mengadakannya oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah Persatuan Daerah atau Jawatankuasa Penyelaras Negeri atau atas keputusan Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan.
(2) Tiap-tiap Persatuan Daerah dan Jawatankuasa Penyelaras Negeri hendaklah diberi empat belas hari notis secara bertulis mengenai Perhimpunan Agung Luar Biasa itu.

(3) Notis itu hendaklah menyatakan urusan Perhimpunan Agung Luar Biasa itu dan tidak ada urusan lain boleh dilaksanakan dalam Perhimpunan itu.


17. MAJLIS ANTI DADAH PEMADAM KEBANGSAAN
A.(1) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah terdiri daripada ahli-ahli yang berikut:-
•Seorang Yang DiPertua yang dilantik oleh Penaung Kebangsaan;
•Seorang Timbalan Yang DiPertua;
•Tiga orang Naib Yang DiPertua;
•Seorang Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Yang DiPertua;
•Seorang Ketua Bendahari hendaklah dilantik oleh Yang DiPertua;
•Pengerusi tiap-tiap Jawatankuasa Penyelaras Negeri atau wakilnya;
•Pengarah atau Ketua Agensi Kerajaan bertanggungjawab bagi hal-ehwal dadah;
•Pegawai-pegawai Kerajaan yang boleh dilantik oleh Yang DiPertua selepas berunding dengan Penaung Kebangsaan;
◦Beberapa orang wakil dari Perdagangan dan Perindustrian, Kesatuan Sekerja, Kelab Belia, Kelab Perkhidmatan dan lain-lain badan sukarela yang boleh dilantik oleh Yang DiPertua selepas berunding dengan Penaung Kebangsaan
(2) Jumlah bilangan ahli-ahli bagi Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan tidak boleh lebih daripada enam puluh.

(3) Walau apapun Perkara 19(3) (c) dan (d) Timbalan Yang DiPertua, Naib-naib Yang DiPertua dan dua orang Juruaudit, hendaklah dipilih oleh ahli-ahli pengasas Persatuan itu dan hendaklah memegang jawatan sehingga Perhimpunan Agung Pertama.

(4) Majlis boleh meminta Jawatankuasa Penyelaras Negeri mengambil tindakan sama ada dengan membubarkan atau menggantung mana-mana Daerah atau Unit yang didapati tidak aktif mengikut Perlembagaan PEMADAM atau melalui arahan-arahan dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan.


B. (1) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah melaksanakan keputusan-keputusan Perhimpunan Agung dan Perhimpunan Agung Luar Biasa dan hendaklah bertanggungjawab kepada Perhimpunan Agung.

(2) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekali dalam tiga bulan atau pada bila-bila masa yang difikirkan perlu oleh Yang DiPertua.

(3) Sekurang-kurangnya dua puluh satu hari notis mengenai mesyuarat Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah diberi kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa.

Dengan syarat bahawa dalam masa kecemasan notis lima hari adalah mencukupi.

(4) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah mempunyai kuasa untuk mengisi apa-apa kekosongan yang berlaku dikalangan pemegang-jawatannya yang dipilih dengan melantik salah seorang daripada ahli-ahli mereka untuk mengisi jawatan yang kosong itu.

(5) Korum bagi mesyuarat Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan ialah lima belas.

(6) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan boleh melantik Jawatankuasa Kecil bagi maksud-maksud tertentu dan boleh mewakilkan kepada Jawatankuasa Kecil itu kuasa-kuasa yang difikirkan perlu termasuk juga kuasa-kuasa yang diterangkan di dalam Perkara 25A.

(7) Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan hendaklah menerima laporan daripada Jawatankuasa Kerja Daerah dan Jawatankuasa Penyelaras Negeri dan Jawatankuasa Kecil masing-masing, jika ada dan mengemukakan laporan yang disatukan kepada Perhimpunan Agung.

Thursday, March 11, 2010

OBJEKTIF DAN PERANAN PEMADAM:

OBJEKTIF PENUBUHAN PEMADAM

Untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi mereka dan lain-lain badan dalam usaha untuk menghapuskan pengeluaran dan perniagaan dadah yang menyalahi undang-undang dan penggunaannya dalam apa-apa bentuk.

Untuk membasmi serta menjalankan penyelidikan mengenai penggunaan dadah dan untuk membantu bekas-bekas penagih dadah melalui JAGAAN LANJUTAN.

Untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya penggunaan dadah dan melibatkan masyarakat dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini.

Untuk melancarkan kegiatan-kegiatan Persatuan itu dalam peringkat Negeri dan Daerah dan memberi galakan serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan Badan-badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini.


PERANAN PEMADAM

Mendidik orang ramai mengenai bahaya penggunaan dadah melalui rancangan pencegahan, pendidikan dan penerangan.

Mengumpul dan menyampaikan pendapat pakar-pakar mengenai penggunaan dadah dan menganjurkan seminar, majlis dialog, forum dan kursus-kursus.

Membantu dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling.

Bekerjasama dengan Jabatan-Jabatan kerajaan yang bersangkutan dan lain-lain pertubuhan sukarela dalam usaha mencegah penggunaan dadah.

APAKAH PEMADAM???

PEMADAM adalah singkatan dari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia . Ia adalah satu pertubuhan sukarela yang ditubuhkan untuk menolong mereka yang bermasalah berbangkit daripada penggunaan dadah, untuk memberi tunjuk ajar kepada orang ramai mengenai bahaya-bahaya penggunaan dadah dan juga untuk mendapat kerjasama orang ramai dalam usaha membasmi DADAH.